1. ASAL USUL NAMA NAKA

Naka diambil sempena "Na" bermakna 'Kubang' dan "Ka" nama sejenis pokok herba iaitu "lengkuas" atau 'Kha" bermaksud sejenis rumput "juluk". Memandangkan satu tempat yang sama maka, maka Kubang Juluk disebut dalam bahasa melayu dan Naka dalam bahasa Siam Kedah. Dahulunya tempat bernama Naka terletak di Kampung Kubang Julok dan sekarang dikenali sebagai "Naka Lama" dan Pekan Naka sekarang asalnya bernama 'Simpang'.


Kenapa disebut Simpang?

Struktur geografi pada waktu itu, tempat ini merupakan persimpangan jalan penduduk setempat ke Nami, Kampung Pa Kra (Chang Deng), Kampung Tang Ni Tengah, Kampung Bendang Tok Teri, Kampung Kubang Juluk (Naka), Kampung Tong Liap (Padang Kerasak), Kampung Masjid, Kampung Bendang Pak Bahar, Kampung Pong dan beberapa buah kampung lagi.

Menurut sumber En Shah Jahan Mohd Naser, pengerusi JKKK Pekan Naka pada mulanya Pekan Naka merupakan kawasan hitam iaitu kawasan komunis (Rancangan Bricks) bagi akitiviti mereka. Nama asal Pekan Naka ialah Kampung Kandang sebelum dimajukan. Daerah Naka terbahagi kepada dua bahagian yang diliputi satu bahagian penduduk melayu dan sebahagian lagi penduduk siam. Lepas penubuhan KEDA telah mewujudkan Pekan Naka.

Peneroka Asal Naka

Suasana negeri Kedah pada awal 1800-an berada dalam keadaan tidak menentu. Serangan-serangan tentera Thai-Siam dan konco-konconya menyebabkan ramai orang Melayu melarikan diri ke negeri Kedah. Pada waktu ini berlaku penghijrahan orang-orang Ligor dan Petani ke Kedah. Mereka telah membuka penempatan baru di kawasan-kawasan pendalaman Kedah seperti di Mong Gajah, Pong Kha, Pedu, Kampung Bendang Pak Bahar, Kampung Bayas, Nha Pit, Pak Kra dan lain-lain lagi.

Pada pertengahan abad ke-18 Haji Abu beserta anak-anaknya (Haji Shafie, Lebai Samad, Jenab dan Pek Chet) berpindah ke Kampong Bendang Tok Teri dari Kampung Masjid. Haji Abu mengelolakan dan mentadbir Bendang Tok Teri sehingga beliau diakui dan diiktiraf sebagai ketua masyarakat di Bendang Tok Teri dengan gelaran "Tok Nai Ban" oleh Panglima Haji Mohamad Salleh pada waktu itu. Disebabkan keuzuranHaji Abu, peranan menjaga Kampung Bendang Tok Teri tersebut diteruskan oleh anak sulungnya Haji Shafie. Antara anak-anak Haji Shafie ialah Awang Ahmad (Mat Platon).

Manakala anak keduanya (Lebai Samad) telah berkahwin dengan sepupunya Mek Mas dari Kampung Masjid. Beliaulah yang mula-mula meneroka Naka. Sekitar tahun 1920-1924 (tahun gelap), Lebai Samad bin Hj Abu, Mek Mas (Isteri) dan anak-anak (Meneh, Mariam, Man dan Mat Ali) membuat kampung untuk berhuma dan bercucuk tanam di seberang sungai sebelah Kampung Bendang Tok Teri (di hadapan Balai Polis Naka sekarang). Kemudian diikuti oleh Saad sekeluarga dan Tok Jaafar dari Kg Masjid. Tok Jaafar tidak kekal lama di situ dan balik ke Kg Masjid kerana keluarganya tidak mahu ikut berpindah. Lebai Samad, Mat Ali (anaknya) dan Shafie (menantunya) berperanan memakmur dan memajukan Naka. Manakala Lebai Man berkahwin dan belajar di Pondok Chegar, Pendang. Kematian Maneh menyebabkan Shafie pulang ke Kg Bukit bersama anaknya Aziz dan Bakri.

Kesedihan Lebai Samad membawa kepada kematian beliau dan diikuti oleh anaknya Mat Ali pada tahun berikutnya. Peranan memajukan Naka beralih tangan kepada anak Saad iaitu Lateh. Lateh (Tok Lateh) memanggil pulang sahabatnya Lebai Man (Tok Wak anak Lebai Samad)) dari Pondok Chegar agar sama-sama memajukan Naka. Tok Wak menyerahkan segala urusan memajukan Naka kepada Lateh dan beliau lebih menumpukan kepada hal-ehwal agama masyarakat setempat sehingga akhir hayatnya. Omar anak Mariam binti Lebai Samad merupakan orang pertama kelahiran Naka. Sehingga tahun 1947 tempat ini masih lagi bernama Simpang.

Dari Simpang kepada Naka

Selepas perang dunia ketiga (1940-1943) keadaan sentiasa tidak aman terutamanya ancaman dari penyamun yang diketuai oleh Din Kra. Din Kra telah berkompromi dengan komunis dan menguasai kawasan Pak kra. Penduduk di Kampung Kubang Juluk telah membentuk pasukan kawalan keselamatan begitu juga di Kampung Bendang Tok Teri. Penduduk di Kampung Pak Bahar telah berpindah ke Kampung Masjid dan Kampung Bendang Tok Teri untuk berlindung dari ancaman komunis dan penyamun. Keadaan ini merisaukan Lebai Man, Lateh dan rakan-rakan yang lain kerana mereka hanya mendapat perlindungan dari orang Kampung Bendang Tok Teri dan Kampung Masjid.

Kerisauan mereka akhirnya terlerai apabila Haji Darus bin Jaafar dari Kampung Padang, Pokok Sena yang merupakan sahabat baik Yang Mulia Tunku Kasim (Tengku Laksmana) mengatakan Pesuruhjaya Polis (Sir William Hims) berhasrat membina pondok polis di Kampung Naka (Kubang Juluk) atas permintaan penduduk setempat. Oleh itu, Haji Darus meminta Lateh membina satu rumah pasung di hadapan rumahnya (tapak balai polis sekarang). Dengan pertolongan orang Kampung Masjid dan Bendang Tok Teri, dalam masa satu bulan, rumah pasung tersebut siap dibina. Di sebelah timur dan barat rumah pasung di korek parit yang memanjang terus ke sungai. Satu aliran air dibuka di sebelah timur 200 meter dari rumah pasung manakala dari selatan menghala ke timur dibina alur hingga ke lubuk Tok Teri. Dilihat dari udara rumah pasung ini dikelilingi oleh satu parit berair. Manakala di tebing parit tersebut ditanam dengan pokok-pokok berduri seperti mengkuang, nibong, tumbung tahi, ngai serta perangkap. Tujuan sebenar pembinaan rumah pasung ini tidak difahami oleh penduduk Kampung Kubang Juluk dan mereka memikirkan bahawa ianya hanya berfungsi sebagai kubu melawan komunis.

Sebaliknya, Haji Darus berpendapat, jika keselamatan terjamin baharulah orang ramai akan duduk menentap di situ. Jika ramai orang baharulah maju tempat tersebut. Pada hari yang ditetapkan kedatangan Pesuruhjaya Polis beserta Yang Mulia Tunku Kasim untuk melihat tapak rumah pasung, penduduk Kampung Naka (Kubang Juluk) telah mengadakan kenduri sambutan. Beberapa orang wakil kampung telah ke Kuala Nerang untuk menjemput rombongan tersebut melalui jalan air (Sungai Tekai). Sebaliknya apa yang berlaku ialah Haji Darus telah membawa rombongan ini melaui jalan darat (menunggang gajah) dari Pokok Sena melalui Bukit Payong dan Kampung Bukit. Pada waktu ini jalan darat Pokok Sena ke Kuala Nerang hanya boleh dilalui dengan gajah atau berjalan kaki.

Haji Darus terus membawa rombongan ini terus ke rumah pasung dan disambut oleh Lateh dan orang Kampung Bendang Tok Teri (diketuai oleh Awang Ahmad). Haji Darus mengatakan bahawa tempat rumah pasung ini adalah bernama Naka dan diiakan oleh YM Tunku Kasim. Selepas itu Sir William Hims telah melengkapi rumah pasung tersebut dengan senjata api dan 2 orang anggota polis ditempatkan di situ. Awang Ahmad selain menjadi ketua Kampung Bendang Tok Teri, beliau diberi kuasa untuk mengetuai satu platon SC. Hari berganti hari, tempat tersebut telah mulai dikenali sebagai Naka. Walaupun begitu, masih kedapatan orang-orang tua sekarang yang masih lagi menyebutnya sebagai Simpang. Wallahualam.